Welcome
-
Ramadhan – ground training
Ramadhan datang lagi, Alhamdulillah dapat kita merasa Ramadhan bulan penuh mubaarak. Pernah saya terbaca di status Facebook seseorang:
1 . Dunia itu racun,
Zuhud itu ubatnya .
2 .Harta itu racun,
Zakat itu ubatnya .
3 .Perkataan yang sia -sia itu racun,
Zikir itu ubatnya .
4 .Seluruh umur itu racun,
Taat itu ubatnya.
5 .Seluruh tahun itu racun ,
Ramadhan itu ubatnya.
Ya. Ramadhan itu ubatnya. Sungguh bertuah kita umat Islam dikurniakan rahmat Ramadhan di mana dibuka semua pintu rahmat, dan ditutup pintu-pintu syurga. Betapa rahman dan rahimnya Allah pada kita, umat Nabi Muhammad S.A.W.
Maksudnya : “Barang siap merasa gembira dengan sebab kedatangan bulan Ramadhan nescaya Allah Taala mengharamkan jasadnya daripada api neraka”.(Hadis riwayat Ahmad)
Maka bergembiralah kita dengan kedatangan bulan yang penuh barakah ini. Janganlah kita merasa beban untuk melakukan amal lebih sedikit dari bulan-bulan sebelumnya. Kerana ini adalah ground training umat Islam! Saya pernah mendengar, jika artis mahu menjadi artis, diwujudkan akademi. Akademi Fantasia contoh terdekat. Tapi Maha Hebatnya Allah diwujudkan kepada kita akademi Ramadhan. Untuk apa? Untuk kita menjadi muslim yang hebat. Yang hebat luar dalamnya.
Tetapi, tetapi..
Jika kita tidak bertindak sebaik mungkin di bulan Ramadhan, maknanya ada masalah dengan imaan kita. Kerana apa? Jika bulan Ramadhan kita masih berkelakuan seperti bulan-bulan lain, maka tiada gunalah Allah merantai syaitan-syaitan – kerana semuanya dari iman kita dan nafsu kita. Sebab itu jugalah, Ramadhan dikatakan bulan mendidik nafsu. Bukan sahaja nafsu makan dan minum tapi segala nafsu. Nafsu mengata, mengeji, mendengar perkara-perkara tidak berfaedah, dan sekecil-kecil nafsu membeli belah pun. Gunakanlah Ramadhan se optimum mungkin. Bagi yang tidak pernah berziarah, ziarah lah jiran tetangga, bagi yang kurang berinfak, inilah masanya mendidik diri menjadi dermawan, bagi yang kurang membaca Quran sebelum-sebelum ini, jadikan Quran teman baik.
Ada penyelidikan dibuat mengatakan perlakuan yang sama yang dilakukan selama 30 - 40hari dikatakan dapat mengubah cara hidup seseorang kerana perlakuan itu akan menjadi habit kita. Jadi dengan memperbanyakkan amal di bulan Ramadhan insyaAllah dapat mengubah cara hidup kita di bulan-bulan yang akan datang. Hebatnya dan telitinya Allah dalam membentuk dan mengatur Ramadhan, Subhanallah!
Tetapi bagaimana mahu istiqamah? Bagaimana mahu mengekalkan amal itu persoalannya. Mungkin minggu pertama kita semangat membaca Quran 1 hari 1 juzuk, masak untuk orang berbuka, qiam tidak pernah putus. Tetapi fitrah manusia biasa, imannya yazid wa yankuz. Naik dan turun.
Oleh itu, solusinya tukarlah persekitaran kita. Jika kita beribadah di suatu-suatu tempat pada suatu-suatu masa, kita akan cepat berasa muak atau boring. Seperti jika berbuka puasa sentiasa makan makanan yang sama, kita akan cepat merasa kenyang. Pergilah ke tempat di mana persekitarannya yang soleh dapat membantu kita dalam melaksanakan ibadah dengan kadar optimum. Masjid atau surau mungkin. Jika sudah bosan dengan satu surau, tukarlah ke surau lain pula. InsyaAllah dengan menukar biah atau persekitaran, dapat juga kita membina tali silaturahim dengan orang yang di luar circle kita.
Atau kita sendiri wujudkan biah itu. Putarkan lagu-lagu nasyid atau ayat Al-Quran di mp3, wujudkan group tadarrus, membaca Quran di mana-mana. InsyaAllah yang lain di sekeliling kita pun akan terkesan. Tapi ingat, elakkan riak, niat hanya kerana Allah semata-mata!
Akhir kata, istiqamahlah dalam beramal di bulan Ramadhan. Ingatlah:“Sebaik-baik amal di sisi Allah ialah yang istiqamah, sekalipun sedikit.”(HR Bukhari dan Muslim).
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments: