Wellington, 12 Nov. - ISMA New Zealand baru-baru ini melakar satu sejarah apabila pertama kali mengadakan lawatan rasmi ke pejabat kedutaan Malaysia di Wellington. Turut sama dalam lawatan ini adalah Setiausaha Agung Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Tuan Haji Aminuddin Yahya yang terbang dari Malaysia untuk menyertai lawatan muhibbah ini selain bertemu dengan wakil-wakil ISMA di New Zealand.
Dalam lawatan rasmi ke pejabat kedutaan ini, satu pertemuan telah diadakan bersama Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Wellington, Tuan Yang Terutama (TYT) Dato’ Hasnudin Hamzah, selain bertemu dengan Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) New Zealand, Dr. Rosli Mohammed dan beberapa pegawai lain yang bertugas di kedutaan. Pertemuan ini telah berlangsung pada Selasa 10 November yang lalu dan mengambil masa hampir 2 jam.
Dalam perjumpaan bersama TYT Dato’, saudara Aminuddin telah diberi kesempatan untuk menerangkan tentang halatuju dan aspirasi ISMA selain berkongsi tentang aktiviti-aktiviti ISMA yang dijalankan. Saudara Aminuddin juga telah menyatakan komitmen ISMA dalam membantu pembinaan para pelajar Malaysia di luar negara terutamanya di New Zealand untuk melahirkan pemimpin masa hadapan yang cerdik pandai dan berteraskan Islam sebagai pegangan hidup.
Dalam kesempatan ini juga kedua-dua pihak telah bertukar-tukar pandangan tentang isu-isu semasa di Malaysia dan langkah-langkah yang boleh diambil bagi meningkatkan kualiti modal insan serta taraf hidup masyarakat secara keseluruhan. Pihak TYT Dato’ turut berkongsi pandangan dan nasihat bagaimana ISMA boleh lebih tampil ke hadapan untuk membantu membaiki masyarakat dalam mencapai status negara maju bukan sahaja dari segi material tetapi juga dari segi cara berfikir dan tindakan.
Dalam perjumpaan bersama Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di New Zealand pula, perbincangan lebih tertumpu di sekitar isu-isu yang melibatkan para pelajar di New Zealand seperti sokongan dan panduan untuk pelajar-pelajar baru di New Zealand, serta bantuan dari segi akademik, sahsiah, kepimpinan serta pembinaan jatidiri seorang pelajar Muslim Malaysia di luar negara.
Kertas kerja rasmi penubuhan ISMA New Zealand juga telah diserahkan dalam perjumpaan ini oleh Pengerusi Jawatankuasa Penaja Penubuhan, saudara Mus’ab Umair dan Ketua Biro Protokol dan Hubungan Luar, saudari Nur Syazwani.
Pihak ISMA New Zealand ingin melahirkan rasa penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam membuka lembaran baru ini terutamanya kepada TYT Dato’ Hasnudin Hamzah dan Pengarah MSD, Dr. Rosli Mohammed atas kesudian untuk menerima kunjungan muhibbah ini.
Diharapkan ini akan menjadi satu titik permulaan untuk kerjasama yang lebih erat antara ISMA New Zealand dan pihak kedutaan. Pihak ISMA New Zealand juga mengalu-alukan segala bantuan, nasihat, tunjuk ajar dan panduan dari pihak kedutaan, dan juga dari mana-mana pihak lain yang mahu terlibat sama dan berkerjasama dalam membantu melahirkan generasi baru Malaysia yang lebih cemerlang dan berguna untuk masyarakat secara keseluruhan.
0 comments: